Travel Indonesia

5 Tempat Menarik Yang Wajib Pergi Di BALI Indonesia.

2025-10-05

5 Tempat Menarik Yang Wajib Pergi Di Indonesia.| TRAVEL INDONESIA : Sekiranya anda bercadang untuk bercuti di Bali, jom baca perkongsian mengenai Bali yang kami kongsikan di bawah. Kami telah menyenaraikan aktiviti2 menarik di Bali yang sesuai untuk semua; sama ada anda bercuti bersama keluarga dengan anak kecil, pasangan berbulan madu, hingga pelancong solo yang mencari pengembaraan.

1. Melakukan Aktiviti Rekreasi di Pantai Suluban

Nak tahu tak Pantai Suluban (Blue Point Beach) yang terletak di Uluwatu ini adalah merupakan salah satu pantai tercantik dan ter-unik di Bali. Pantai ini dikelilingi oleh tebing batu kapur yang tinggi.

Travel Indonesia

Untuk sampai ke kawasan pantai, pengunjung perlu menuruni tangga dan melalui celah-celah di antara batu karang. Agak mencabar juga la, tetapi suasana pantainya memang sangat memukau dan ‘eksklusif’. Memang tak sama dengan mana-mana pantai.

Setibanya di Pantai Suluban, anda akan disambut oleh pasir putih yang lembut dan air laut biru jernih. Pantai ini juga ‘syurga’ bagi peminat sukan air, terutama luncur ombak.

Sekiranya anda tidak gemar aktiviti air, ada banyak lagi aktiviti yang anda boleh lakukan di sini seperti menjelajahi gua-gua karang yang tersembunyi di sekitar pantai, berjalan di atas pasir putih, bersantai di tepi pantai sambil menikmati matahari terbenam dan sebagainya.

Jangan lupa singgah di kafe dan warung makan di sepanjang tebing untuk menikmati makanan tempatan sambil melihat pemandangan yang tiada tandingannya.

Tips: Pakai kasut yang selesa kerana anda perlu menuruni tangga batu untuk ke kawasan pantai.

2. Menginap di Uluwatu Surf Villas

Bayangkan menginap di villa mewah di atas tebing yang menghadap ke lautan luas, itulah pengalaman yang ditawarkan oleh Uluwatu Surf Villas. Lokasi ini bukan sahaja memberikan pemandangan yang memukau tetapi juga suasana yang tenang dan dekat dengan alam.

Travel Indonesia

Menariknya lagi, vila ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas dan moden seperti kolam renang peribadi, ruang santai yang luas, restoran serta perkhidmatan yang mesra daripada staf-staf villa.

Bagi pasangan yang ingin menikmati bulan madu atau pelancong yang mencari ketenangan eksklusif, memang recommended sangat menginap di sini! Oh ya, villa ini juga mempunyai akses langsung ke Pantai Suluban.

Tips: Tempah lebih awal kerana vila ini sangat popular dan selalu penuh. Anda boleh minta cadangan untuk menempah bilik dengan pemandangan lautan untuk pengalaman terbaik.

3. Menziarahi Kuil di Pura Luhur Uluwatu

Pura Luhur Uluwatu adalah salah satu kuil ikonik di Bali yang terletak di atas tebing setinggi 70 meter. Selain merupakan tempat suci bagi orang Hindu Bali, kuil ini juga menawarkan pemandangan laut yang indah kepada pengunjung.

Travel Indonesia

Apabila anda tiba di kuil ini, anda akan disambut oleh gerbang batu yang besar dan patung-patung tradisional Bali. Seni bina Bali yang indah dan ukiran batu yang rumit menambah lagi daya tarik kuil ini.

Pada waktu petang, anda boleh menyaksikan tarian Kecak yang memukau, lengkap dengan latar belakang lautan biru dan langit jingga. Pastikan anda berpakaian sopan dan berhati-hati dengan monyet yang berkeliaran di kawasan kuil.

Tips: Pakai pakaian yang sopan kerana ini adalah tempat suci. Ada sarung biasanya disediakan percuma di pintu masuk. Jangan lupa datang awal untuk mendapatkan spot tempat duduk terbaik bagi menyaksikan persembahan tarian Kecak dan matahari terbenam.

4. Berkunjung ke Nusa Penida

Nusa Penida, sebuah pulau kecil yang terletak di tenggara Bali adalah destinasi wajib jika anda ingin meneroka keindahan semula jadi Bali. Pulau ini terkenal dengan pantai-pantai seperti Kelingking Beach, Angel’s Billabong, dan Broken Beach yang menawarkan pemandangan luar biasa.

Travel Indonesia

Selain itu, aktiviti snorkeling di Crystal Bay adalah pengalaman yang tak boleh dilepaskan, di mana anda boleh melihat terumbu karang yang cantik dan ikan-ikan berwarna-warni. Apapun, pastikan anda merancang perjalanan sehari penuh kerana banyak tempat menarik di pulau ini.

Tips: Sewa motosikal atau kereta dengan pemandu untuk meneroka pulau dengan lebih mudah. Pastikan anda memakai kasut yang selesa kerana banyak tempat menarik memerlukan sedikit pendakian.

5. Meneroka Ubud

Ubud, terletak di tengah-tengah pulau Bali, adalah pusat budaya dan seni pulau ini. Kalau pergi Bali tak singgah Ubud memang rugi. Salah satu tempat yang wajib dikunjungi di Ubud adalah Sacred Monkey Forest, iaitu sebuah hutan yang dipenuhi dengan patung-patung kuno dan ratusan monyet yang berkeliaran bebas. Selain daripada keunikan semula jadinya, hutan ini adalah lokasi penting bagi upacara agama masyarakat setempat.

Travel Indonesia

Di samping itu, anda juga boleh melakukan aktiviti mendaki santai di Ubud dengan berkunjung ke Campuhan Ridge Walk. Laluan ini membentangkan pemandangan indah bukit-bukit hijau dan lembah yang subur.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah pula, anda boleh singgah di Pasar Seni Ubud. Pasar ini dipenuhi dengan barangan seni seperti kain batik, lukisan, ukiran kayu, dan aksesori unik buatan tempatan. Jangan lupa gunakan kemahiran tawar-menawar anda untuk mendapatkan harga terbaik!

Selain tarikan fizikal, Ubud juga terkenal dengan pelbagai hidangan tradisional Bali. Antara menu yang anda kena cuba ialah bebek betutu dan lawar.

Tips: Pastikan anda menjaga barang peribadi di Sacred Monkey Forest kerana monyet di sini sangat nakal dan suka mengambil barang. Hati hati okay!

Artikel Lain